KUALA TERENGGANU, 2 November- Tujuh lokasi panas dikenal pasti di Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lokasi terlibat ialah Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.
Selain, Besut, Kuala Terengganu dan dua kawasan di Dungun.
Jelas beliau, lokasi yang disenaraikan itu berpandukan kepada situasi PRU14 yang lalu.
Bagaimanapun, pihaknya tetap akan menilai semula lokasi panas tersebut selepas selesai penamaan calon Sabtu ini.
"Ia berdasarkan kepada insiden-insiden lalu dan kawasan yang dikenal pasti mempuyai beberapa kelompok individu tertentu yang mungkin menimbulkan sedikit kegusaran kepada masyarakat.
Jadi kawasan panas ini akan diberi tumpuan yang lebih sepanjang kempen pilihan raya ini," katanya selepas menyampaikan taklimat persiapan menghadapi PRU15 di sini.
(Datuk Rohaimi Md Isa, Ketua Polis Terengganu)
Sementara itu, Datuk Rohaimi memaklumkan, lebih 3,000 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memantau dan mengawal proses PRU15 membabitkan lapan kawasan Parlimen.