IPOH, 2 November- Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri bertanding di Parlimen Larut.
Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengesahkan perkara tersebut ketika Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penarikan itu, Mohd Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
(Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)
"Saya tidak ada maklumat atau alasan mengapa bertukar kerana Ustaz Kazim ini telah pun bersetuju pada sebelah petang, dan namanya telah diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid dan watikah telah disediakan.
"Tapi saya berada di Pejabat UMNO semalam pada pukul 1.00 pagi lebih kurang, kita mendapat maklumat beliau menarik diri," katanya di sini.
Semalam, pencalonan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).