(Fadhlina Sidek)
TUMPAT, 15 Jun- Semua sekolah yang bakal dijadikan pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri berada dalam keadaan siap siaga.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
"Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk kita sentiasa dalam keadaan siap siaga sebagaimana bencana. Begitu juga pilihan raya, semua kita siap siaga, tiada masalah, jadi bila-bila masa sahaja kita boleh teruskan dengan persediaan PRU DUN," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Komprehensif K9 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini.
Fadhlina mengulas persediaan fasiliti sekolah yang bakal dijadikan pusat pengundian susulan pembubaran DUN di beberapa negeri termasuk Kelantan bagi membolehkan PRU DUN dilaksanakan.
Sementara itu, mengenai Sekolah Komprehensif K9, berliau berkata sehingga kini sebanyak 16 Sekolah Komprehensif K9 diwujudkan termasuk di Sabah dan Sarawak serta Pahang.
"Kami ada terima banyak permohonan K9 dan K11, jadi dari semasa ke semasa kita akan lihat keperkuan itu dan akan diputuskan daripada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) untuk kenal pasti keperluan K9 dan K11 tersebut," ujarnya lagi.
SK Pulau Beluru merupakan projek pertama Sekolah Komprehensif K9 di negeri itu dan penambahan jenis sekolah terbabit akan di buat berdasarkan keperluan semasa.
(Fadhlina Sidek merasmikan Sekolah Komprehensif K9 di SK Pulau Beluru
di Tumpat, Kelantan)