fb fb fb fb fb

Perlu permit untuk terbangkan dron sepanjang gawai bazaar, perarakan ‘Niti Daun’ – Polis

KUCHING, 15 Jun - Polis Sarawak melarang orang awam menerbangkan dron tanpa permit sepanjang program Gawai Bazaar dan Perarakan ‘Niti Daun’ sempena sambutan Gawai Dayak yang bermula esok petang sehingga Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pengendali dron perlu mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia dan jika gagal berbuat demikian polis tidak akan teragak-agak menyekat frekuensi penerbangan dron itu.

“Hanya unit dron TVS sahaja yang dibenarkan untuk membuat liputan udara semasa aktiviti berlangsung atas faktor keselamatan,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Mohd Azman berkata selain itu, enam jalan utama di sekitar bandar raya akan ditutup mulai esok pada pukul 4 petang hingga 5 petang untuk sesi raptai, manakala pada Sabtu bermula 10 pagi hingga 5 petang.



“Antara jalan yang ditutup dan dilencongkan bagi tujuan perarakan adalah bulatan Sri Aman atau susur masuk Jalan Padungan, susur masuk ke Jalan Abell, Jalan Petanak, Jalan Padungan, Jalan Wawasan, Jalan Carpenter, Jalan Old Court House dan Jalan Gambir,” katanya.

Beliau berkata seramai 289 orang pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang program itu berlangsung bagi memastikan kelancaran program.

Orang awam yang ingin menyaksikan perarakan itu dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di kawasan yang telah ditetapkan iaitu di bangunan Saujana, medan letak kereta Plaza Merdeka, bangunan Medan Pelita, sekitar bangunan Tun Jugah dan medan letak kereta Top Spot. -BERNAMA

Media Baharu