(Foto fail/Bomba)
KUALA LUMPUR, 15 Jun- Langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang akan terus dilaksana bagi mengurangkan impak bencana banjir.
Ini termasuk meningkatkan kekerapan penyelenggaraan, pendalaman dan pembersihan saliran serta memastikan kesiapsiagaan infrastruktur seperti pam pintu air untuk berfungsi pada tahap terbaik.
Demikian menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,
Nik Nazmi Nik Ahmad)
"Pendekatan secara struktur melibatkan pembinaan terus bagi mengatasi banjir genang, meninggikan serta menaik taraf sungai-sungai utama bagi meningkatkan kapasiti hidraulik sungai.
"Untuk projek-projek tebatan banjir kita ada projek yang diutamakan melibatkan 27 projek, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11.6 bilion yang mana proses perolehannya akan bermula bulan ini. Kita hendak segerakan, semua perancangan, ramalan cuaca diambil kira, perubahan iklim yang ada pada hari ini", katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Nik Nazmi menyatakan demikian ketika menjawab soalan dikemukakan wakil Cheras, Tan Kok Wai berhubung langkah diambil kementerian untuk mengelakkan bencana banjir besar dari berulang.