fb fb fb fb fb

PRU DUN Sabah: Gabungan BN-PH perlu kerjasama erat antara parti

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah yang ke-17 memerlukan kerjasama erat antara parti di peringkat pusat dan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu dijangka turut melibatkan kerjasama dari parti-parti politik lain di Sabah.

"PRU DUN Sabah bakal menyaksikan gabungan antara BN dengan PH. Bukan kita tidak berhasrat untuk bergerak solo tetapi keputusan kita adalah bukan BN-PH satu plus, tetapi plus plus plus,"

"Ini memperlihatkan keterbukaan kita. Dan pastinya akan ada parti politik Semenanjung dan Sabah. Kita harus kombinasikan parti-parti politik di pusat dan negeri," kata beliau selepas menghadiri Sambutan Hari UMNO ke-79 di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama menyeluruh antara parti di setiap peringkat dapat memastikan rancangan pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan.

Mengulas soal pembahagian kerusi pada PRU DUN Sabah nanti, Presiden UMNO itu meminta semua pihak khususnya parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk menyerahkan perkara itu dimuktamadkan pucuk pimpinan parti masing-masing.

"Saya menasihatkan soal yang dibangkitkan itu (pembahagian kerusi) biar ditentukan pucuk pimpinan parti masing-masing. Jangan layan emosi dan juga analisis atau perspektif masing-masing,"

"Khususnya pembahagian kerusi. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Kerana kami di peringkat atasan sentiasa berunding termasuk mengenai perkara yang dibangkitkan itu. Tidak perlu dibangkitkan oleh pemuda UMNO atau Amanah. Saya fikir perkara ini sangat pramatang untuk dipolemikkan," jelas beliau.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI