TAWAU, 11 Mei – Sabah berpotensi menjadi sebuah negeri yang lebih maju sekiranya wujud kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam usaha membela nasib rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan komited dan akan berusaha sedaya upaya merealisasikan impian itu demi memastikan rakyat Sabah menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Menurut Datuk Seri Anwar, adalah perkara lazim bagi sesebuah negeri untuk memohon peruntukan pembangunan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu seharusnya dibincangkan secara harmoni antara kedua-dua pihak.
"Kita nak Sabah maju, jika ada kerjasama yang erat di antara Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membela nasib rakyat.
"Dan saya bagi jaminan, segala upaya kita lakukan, kita semua tahu tidak dapat penuhi semua permintaan, permintaan tambahan ini biasa tetapi bukan bermakna dengan cara musuh dengan cara mencerca. Kita runding mencari penyelesaian yang baik. Pilih wakil-wakil rakyat yang boleh menyuarakan kepentingan kita dan bukan untuk memecahbelahkan kita serta satu sama lain.
"Ini pesanan saya kalau kita cinta kepada negara kita, cinta kepada negeri kita, kita mestilah tingkatkan muafakat kita," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini hari ini.
Berita penuh menyusul