TAWAU, 11 Mei- Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan strategik sebagai duta profesionalisme dan kecemerlangan Malaysia di pentas serantau ASEAN.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini memberi peluang untuk mempamerkan kebolehan serta komitmen tinggi penjawat awam dalam melaksanakan tugas.
Tan Sri Shamsul turut mengajak penjawat awam berganding bahu mengangkat martabat negara melalui tadbir urus yang cekap, komunikasi berkesan dan penyampaian perkhidmatan awam yang mencerminkan nilai-nilai MADANI.
Selain itu penjawat awam juga diingatkan supaya proaktif dalam merangka dasar lebih mapan, mengukuhkan hubungan perdagangan dan mempercepat usaha diversifikasi ekonomi negara.
Perkara itu dimaklumkan dalam ucaptama program MADANI Rakyat : Bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di sini.
Langkah itu penting dalam memastikan daya tahan ekonomi Malaysia untuk jangka panjang, selain melindungi kesejahteraan rakyat daripada kesan dasar luar yang tidak menentu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan agar penjawat awam sentiasa mematuhi nilai integriti serta menjunjung tahap akauntabiliti yang tinggi serta tidak terjerumus dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.