SANDAKAN, 11 Mei- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited menjaga kedaulatan negara dengan mengekang jenayah rentas sempadan di perairan timur Laut Sabah.
Ini termasuk meningkatkan pengoperasian kawalan keselamatan di perairan Sandakan.
Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Yusne Mokhtar berkata, penugasan anggota merangkumi rondaan serta pemeriksaan ke atas bot nelayan dan kapal perdagangan yang dilaksanakan secara berskala besar dan kecil dari semasa ke semasa.
"Kita sentiasa berada di laut melaksanakan operasi di sepanjang perairan timur laut, khususnya di ESSZONE (Zon Selamat Timur Sabah).
"Kapal-kapal dan bot-bot TLDM sentiasa menjalankan rondaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun tanpa sebarang pencerobohan setakat ini," katanya.
Beliau berkata dalam sidang Media sempena Hari Terbuka Armada (HTA) di sini.
HTA antara inisiatif TLDM mendekati masyarakat, selain memberi pemahaman berkaitan tugas dan peranan pasukan keselamatan itu.