TAWAU, 11 Mei- Kerajaan MADANI telah melaksanakan sebanyak 144 projek pembangunan di Sabah dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 bilion setakat ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk kerja-kerja menaik taraf Hospital Tawau dan Penjara Lahad Datu, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay serta cadangan pembinaan sebuah pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.
"Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains, serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini.
Menurut Perdana Menteri dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan MADANI, namun beliau mengakui masih terdapat kekangan tertentu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Selain itu menteri lain yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.