SHAH ALAM, 7 Julai- Sebanyak 2,000 anggota dan pegawai tambahan akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dalam membantu memastikan kelancaran urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN ke-15).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata kontinjen negeri itu akan menggunakan khidmat 10,000 anggota dan pegawai bagi tujuan PRU DUN ke-15 manakala baki 4,000 lagi kekal meneruskan tugas hakiki seperti menjaga balai dan rondaan.
"Anggota-anggota ini ditempatkan sehari atau dua hari sebelum mengundi dan kita akan serahkan kepada pihak Selangor untuk mengatur gerak kerja dan perancangan seterusnya.
Saya turut mengambil kira tatakelola berhubung penggunaan anggota mengikut keperluan. Jika silap percaturan, juga akan merugikan kerajaan," kata Razarudin kepada pemberita dalam sidang media berkaitan persiapan Pilihan Raya Negeri Selangor.
Tambahnya, keanggotaan tambahan itu akan diperoleh daripada kontinjen negeri berdekatan dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Selain itu, 70 kawasan tumpuan telah dikenal pasti di Selangor pada musim pilihan raya kali ini dan akan dipantau oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Bahagian Cawangan Khas.
(Foto Hiasan/BERNAMA)