
KUBANG PASU, 28 Februari – Protokol keselamatan dan kawalan di sempadan diaktifkan bagi meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan pegawai dan anggota bertugas di
pintu sempadan.
- Mengaktifkan protokol keselamatan dan kawalan sempadan untuk tingkatkan perlindungan pegawai dan anggota bertugas.
- Menyemak semula undang-undang, peraturan dan SOP termasuk pemeriksaan, penahanan dan pelepasan.
- Mengintegrasikan perkongsian data agensi, melaksanakan kawalan akses berlapis serta tambah teknologi seperti CCTV dan biometrik.
Ia termasuk menyemak semula undang-undang dan peraturan yang diguna pakai ketika ini sama ada ia sudah memadai atau perlu ditambah baik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkongsian maklumat dan data-data berkaitan melibatkan pelbagai agensi seperti tentera, polis, imigresen, dan kastam perlu diintergrasikan bagi mempermudah dan mempercepat sesuatu tindakan.
“Apabila kita bercakap tentang peningkatan protokol keselamatan dan perimeter kawalan, perkara pertama yang perlu dilihat ialah undang-undang serta peraturan sedia ada.
“Kita akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP), termasuk aspek pemeriksaan, penahanan dan pelepasan. Selain itu, kita juga akan meneliti kembali konvensyen antarabangsa berkaitan kawalan sempadan,” katanya.
Kawalan akses berlapis juga perlu dilaksanakan segera termasuk semakan sistem biometrik dan pengesahan identiti.
Selain itu, melengkapkan aspek teknologi dan inovasi di kawasan berisiko tinggi seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem keselamatan berkaitan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini.
Lawatan tersebut susulan insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, pada Rabu lalu.
Datuk Seri Saifuddin turut mengarahkan kawalan keselamatan terhadap pegawai yang disyaki menjadi sasaran ditingkatkan serta-merta.