fb fb fb fb fb

Protes mahasiswa UMS: KPT serah penuh pada pihak berkuasa

Datuk Mustapha Sakmud ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 di Politeknik Merlimau

MERLIMAU, 26 Jun- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung insiden protes melibatkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membakar karikatur menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Kementerian akan tunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 di Politeknik Merlimau, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Mustapha menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu titik hitam dalam sejarah gerakan belia di Sabah.

“Bagi kami di Sabah, ini kali pertama berlaku perbuatan membakar karikatur Perdana Menteri. Sebagai pimpinan belia dan seseorang yang mengikuti perjuangan anak muda di negeri ini, saya anggap ini sebagai detik hitam yang tidak wajar berulang," katanya.

Tambah beliau, rakyat Sabah lazimnya menyuarakan pendapat secara aman dan harmoni, selari dengan budaya negeri yang menjunjung nilai perpaduan.

“Kita tidak mahu budaya luar yang tidak mencerminkan identiti kita ini menjejaskan reputasi anak muda Sabah,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak kementerian serta institusi berkaitan menjalankan kajian mengenai kecenderungan sebahagian besar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam berbanding menyertai aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ini kerana, menurut beliau, program TVET turut menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk dermasiswa dan biasiswa di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE