fb fb fb fb fb

Iran komited perkukuh kerjasama dengan ASEAN

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Iran menyatakan komitmen tinggi untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, dalam usaha menjamin keselamatan laluan tenaga strategik di Selat Hormuz dan Teluk Parsi, di samping memperkukuh kestabilan serantau.

Perkara itu ditegaskan Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, dalam sidang media hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan rundingan ekonomi dan keselamatan dengan negara-negara jiran serta menyatakan penghargaan terhadap peranan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami melihat ASEAN, khususnya Malaysia, sebagai rakan penting dalam membentuk jaringan diplomasi dan kerjasama yang stabil. Iran komited untuk memastikan laluan tenaga di wilayah ini tidak tergugat, walaupun dalam suasana geopolitik yang tegang,” katanya.

Mengulas mengenai ketegangan semasa, Valiollah menjelaskan bahawa Iran telah memulakan rundingan damai secara langsung dengan Amerika Syarikat sejak dua bulan lalu berkaitan program nuklear aman negara itu.

Bagaimanapun, rundingan yang dijadualkan berlangsung selama enam bulan itu tergendala apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas wilayah Iran.

“Israel telah menyerang Iran dan berdasarkan Artikel 51 Piagam PBB, kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri sebagai tindak balas terhadap serangan itu. Inilah sebabnya kami bertindak balas. Kami tidak suka peperangan, tetapi apabila seseorang menyerang kami, sudah tentu kami akan memberi tindak balas kerana menjadi tanggungjawab kami untuk mempertahankan negara kami, rakyat kami, dan sudah tentu, tamadun kita semua," jelasnya.

Menurut Valiollah, sepanjang 12 hari konflik, Israel bukan sahaja menyasarkan kemudahan ketenteraan, tetapi juga menyerang hospital, universiti, rumah kediaman serta infrastruktur awam di Iran dan negara-negara jiran seperti Palestin, Lebanon, Syria dan Yaman.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas ke atas kemudahan ketenteraan di Tel Aviv.

Iran turut mempersoalkan kegagalan badan-badan antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap Israel, walaupun wilayah itu bukan ahli Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) tetapi memiliki senjata nuklear dan melancarkan serangan secara terbuka.

Tiga kemudahan nuklear Iran turut menjadi sasaran serangan udara Amerika Syarikat, namun menurut Tehran, keadaan kini berada dalam kawalan dan tiada kebocoran bahan radioaktif yang membimbangkan.

Menegaskan pendirian negaranya, Valiollah berkata Tehran berdiri teguh bersama rakyat Palestin sejak Revolusi Islam lagi, termasuk dengan memberi sokongan kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam usaha membebaskan tanah Palestin.

“Iran bukan sekadar menyokong Palestin secara politik, tetapi juga dari segi teknologi dan pembangunan. Ini bukan isu Palestin semata-mata ini isu kemanusiaan,” ujarnya.

Mengakhiri sidang media, Valiollah menegaskan bahawa Iran tidak akan memulakan sebarang serangan selagi tidak diserang. Namun, sebarang tindakan agresif terhadap kedaulatan negara akan dilaksanakan dengan tegas.

Beliau menegaskan bahawa Iran tidak mengeluarkan ancaman sebaliknya menyatakan pendirian tegas untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negaranya sekiranya diserang.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI