KUANTAN, 13 Mei - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah 1 berharap proses perolehan aset kapal tempur pesisir (LCS) dan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch II dapat dipercepatkan.
Aset baharu itu diperlukan bagi memantapkan lagi pertahanan daripada segi keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar.
Timbalan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Shaiful Nizam bin Abdul Manan berkata, aset sedia ada sudah usang dan memerlukan penyelenggaraan rapi dan ia akan melibatkan perbelanjaan besar yang besar.
Bagaimanapun katanya, bagi menjamin keselamatan negara, aset-aset tersebut sentiasa diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan.
"Cabaran terkini adalah untuk menentukan aspek operasi di lapangan itu berjalan, pada masa sama fokus untuk meningkatkan keupayaan aset TLDM itu sedang berlangsung secara umum, saya kira dalam maklumat-maklumat yang sedang disebar luaskan pada ketika ini saya rasa semua tahu.
"Bahawa kita menunggu aset-aset baharu khususnya melibatkan kapal LCS ..kapal LMS kumpulan 2, jadi ini antara aset-aset baharu yang akan diketengahkan dan akan cuba dipercepatkan proses perolehannya di peringkat TLDM secara umum lah,"kata Shaiful di sini.
Seiring dengan teknologi kini, TLDM harus ke depan dalam aspek pembangunan perolehan aset-aset baharu.
(Shaiful bercakap kepada pemberita selepas perasmian Hari Terbuka Armada
sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-89 peringkat Markas Wilayah Laut 1
di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini)
Lebih 5,000 pengunjung hadir ke Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM pada hari pertama dan akan berakhir esok.