KUALA TERENGGANU, 21 April- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperhebat promosi pelancongan ke Tasik Kenyir sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata antara usaha yang dijalankan termasuk menjalin kerjasama strategik bersama penganjur Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) bagi memastikan destinasi itu tersenarai dalam lokasi wajib dikunjungi sepanjang kempen pelancongan berkenaan.
"Kita menyedari jumlah pengunjung berkurangan sejak berlakunya pandemik COVID-19. Namun, saya dimaklumkan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bahawa terdapat peningkatan jumlah pelancong sejak kebelakangan ini.
"Program dan aktiviti juga telah diselaraskan dengan kerajaan negeri bagi memastikan Tasik Kenyir kekal menjadi fokus dan tumpuan pengunjung," katanya.
Sebelum ini, exco kerajaan negeri mendedahkan jumlah pelancong ke Tasik Kenyir semakin menurun sejak beberapa tahun lalu, dipengaruhi pelbagai faktor termasuk impak pandemik dan kekangan promosi.
Mengikut rekod, hampir 776,000 pengunjung direkodkan pada tahun 2018 berbanding hanya 396,500 pelancong tahun lalu.
Rubiah berkata demikian selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran KKDW di sini hari ini.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan geran bantuan kemudahan pembiayaan perniagaan kepada usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA).