JAKARTA, 21 Mei- Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Melaka dan Dumai, Indonesia kini berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan, jelas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid memaklumkan Kerajaan Negeri Melaka telah melantik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai perunding rasmi bagi menjalankan kajian tersebut bermula 4 Disember 2024.
Menurut beliau, kajian itu bukan sahaja tertumpu kepada aspek penghubungan fizikal untuk perdagangan dan pelancongan, malah turut melibatkan potensi penggunaan infrastruktur bersama seperti fiber optik dan saluran gas antara kedua-dua negara.
"Saya nyatakan apa perancangan untuk jambatan 48 kilometer ini. Kita merasakan jambatan ini bukan hanya jambatan penghubung untuk perdagangan dan pelancong, tetapi juga akan menempatkan fiber optik serta taluran gas. Ia akan menjadi elemen penting untuk kedua-dua negara," katanya.
Tambah beliau, kajian yang dijalankan akan meneliti pelbagai aspek termasuk teknikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai pembinaan jambatan dibuat.
Projek itu dilihat berpotensi besar merancakkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan, pelancongan serta mobiliti antara Malaysia dan Indonesia khususnya di rantau Selat Melaka.
Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari berakhir esok.