KOTA BHARU, 21 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap dua anggotanya yang dipercayai membuat komen jelik di Facebook.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan mengenai kandungan tersebut.
"Sebagai kakitangan awam, kita hendaklah bersifat berkecuali. Kita juga ada sensitiviti dalam perkhidmatan awam yang perlu kita patuhi," katanya.
Beliau menegaskan komen jelik tidak hanya tertumpu pada isu 3R (agama, kaum, raja) atau politik semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek lain seperti yang tertakluk dalam perintah tetap jabatan.
Nor Hisham berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas kesiapsiagaan jabatan berdepan cuaca tidak menentu ketika ini, beliau berkata semua balai bomba diarah memberi tumpuan kepada kawasan berisiko berlaku bencana termasuk banjir kilat.
"Kita telah beri peringatan kepada semua balai. Saya percaya impak banjir kilat lebih teruk daripada banjir monsun kerana banjir monsun boleh dijangka dan penduduk sempat pindah barang lebih awal, tetapi banjir kilat naik mendadak dan kerugian boleh jadi lebih besar," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 306 daripada 1,181 pegawai dan anggota JBPM berjaya mencatat penurunan berat badan melebihi lima kilogram dalam tempoh enam bulan menerusi program ‘wellness hub’ bagi mencapai indeks jisim badan (BMI) yang sihat.
Nor Hisham turut menyatakan jabatan itu menyasarkan peningkatan peratus masa respon (RT) bawah 10 minit kepada 66 peratus tahun ini berbanding 64 peratus yang direkodkan tahun lalu.
"Peringkat pusat kita letakkan 9 minit 30 saat sebagai sasaran, tetapi tahun lepas kita capai purata 8 minit 36 saat. Sebahagian besar disumbang oleh negeri metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Selangor kerana taburan penduduk tertumpu dan lokasi balai lebih dekat," katanya.
Beliau menambah, peratusan dan masa RT berbeza antara negeri dan dipengaruhi faktor seperti jarak lokasi kejadian, khususnya jika di bawah 25 kilometer dari balai terdekat.