KUALA PERLIS, 2 Ogos- Kelab Sukan dan Kebajikan Anggota dan Keluarga (KEKAS) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis menganjurkan Program Gaya Hidup Sihat.
Program cakna terhadap kepentingan penjagaan kesihatan itu dihadiri seramai 60 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan di IKBN tersebut.
Timbalan Pengarah IKBN Kuala Perlis Amierul Affendi Adnan memaklumkan, inisiatif itu bagi memastikan kakitangan dapat menjadikan medium tersebut sebagai permulaan dalam mengamalkan penjagaan kesihatan dan dijadikan contoh kepada masyarakat dalam membudayakan gaya hidup sihat.
Program itu juga dapat dijadikan sebagai satu budaya dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti kehidupan terutamanya kepada organisasi.
"Gaya hidup sihat mampu memberi faedah kepada kecergasan fizikal, rohani, emosi serta menjamin kestabilan kesihatan mental dan sentiasa dapat mengawal atau mengurangkan tekanan terutamanya pada waktu bekerja," katanya ketika ditemui media pada Program Gaya Hidup Sihat di Muzium Kota Kayang.
Amierul Affendi Adnan berkata, kebersamaan dan semangat bekerjasama boleh dilaksanakan dalam setiap aktiviti yang dilakukan selain mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan IKBN.
(Program IKBN Kuala Perlis anjuran KEKAS)