(Foto fail)
KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah melengkapkan semakan tambang penerbangan domestik yang akan beroperasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Semakan melibatkan tarikh penerbangan 16 hingga 20 November ini.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat penerbangan juga telah memperkenalkan pelbagai promosi serta melancarkan diskaun tambang penerbangan bagi memudahkan pengguna pulang mengundi.
"Selain membuat perancangan untuk menambah penerbangan termasuk 45 penerbangan dari KLIA ke lokasi lokasi terpilih di Semenanjung.
"Manakala penerbangan yang beroperasi dari Subang pula, sebanyak 30 penerbangan tambahan telah dirancang.
"Termasuk 68 penerbangan tambahan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," Kata Saripuddin.
(Promosi, diskaun tambang penerbangan mudahkan pengguna pulang mengundi)
MAVCOM akan memantau perkembangan industri bagi memastikan tambang penerbangan yang ditawarkan kekal pada harga berpatutan, mencukupi dan tersedia bagi memenuhi permintaan penerbangan bagi PRU15.
Berdasarkan hasil semakan, purata tambang penerbangan domestik sehala merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara Semenanjung ialah RM185.
Sementara bagi laluan udara Sabah dan Sarawak ialah RM188, dan RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
MAVCOM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan syarikat-syarikat penerbangan tempatan bagi memastikan pengguna dapat pulang mengundi dan melaksanakan hak demokrasi mereka dengan lancar.