KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Lebih 20 organisasi termasuk syarikat penerbangan dan pengusaha kraftangan dihimpunkan menerusi program jerawayara ‘Jom ke Sarawak’ Siri Lembah Klang.
Program itu yang bermatlamat mempromosi produk dan pakej pelancongan terkini Sarawak bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke Bumi Kenyalang.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata siri ketiga ini merupakan kesinambungan kepada siri terdahulu jerayawara ‘Jom ke Sarawak’ yang telah dilaksanakan di Kota Bharu, Kelantan dan Pulau Pinang pada Mei lalu.
"Dan juga Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan yang unggul menarik.
"Lembah Klang sebagai 'kawasan tadahan' dengan kepadatan dan keupayaan untuk melaksanakan aktiviti, saya yakin bahawa langkah Sarawak pada kali ini dengan kerjasama Tourism Malaysia Sarawak dan Sarawak Tourism Board adalah sesuatu yang baik dan yakin bahawa program ini akan berjaya lebih daripada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini," kata Zainuddin dalam sidang media selepas majlis perasmian Jerayawara 'Jom ke Sarawak' Siri Lembah Klang di sini.
(Datuk Zainuddin berkata Jerawayara ‘Jom ke Sarawak’ diteruskan di Lembah Klang)
Tambahnya, melihat kepada kejayaan siri pertama itu, jerayawara kali ini disasar untuk diteruskan ke Lembah Klang bagi meningkatkan ketibaan pelancong dengan mengambil kira faktor ketersediaan penerbangan terus dari negeri-negeri berkenaan.
Sehingga September lalu, seramai 1,141,184 pengunjung telah direkodkan menerusi data ketibaan pelawat ke negeri Sarawak, melibatkan 313,100 pelawat antarabangsa dan 828,084 pelawat domestik.