KEMAMAN, 28 Oktober - Janin yang cukup sifat bersama uri yang ditemui di Masjid Kampung Labohan tengah hari semalam rupa-rupanya janin kucing.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan selepas objek itu dibawa untuk pemeriksaan ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini.
"Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mendapati janin itu memiliki ekor.
"Ia kemudiannya disahkan janin kucing bukannya manusia," katanya kepada RTM di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja pembersihan dalam tandas wanita di Masjid Kampung Labohan menemui ojek janin yang cukup sifat bersama uri itu di kawasan masjid berkenaan.
Kariza Muda, 49, berkata dia menemui janin dianggarkan berusia empat bulan itu di lantai tandas wanita pukul 12.15 tengah hari pada Khamis.
Pihak polis menerima laporan mengenai penemuan janin itu daripada ahli jawatankuasa masjid kira-kira pukul 3.00 petang semalam.