(Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Juruteknik mesin penapis air, Mohamed Rezuan Satori memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kebocoran sedikit yang terdapat pada mesin penapis air milik Siti Bainun itu tidak menjejaskan suhu air panas dan sejuk pada mesin tersebut.
Pada Prosiding hari ini, Mohamed Rezuan memaklumkan pergi ke rumah Siti Bainun pada 24 Mei 2021 untuk pemeriksaan dan penukaran kepala paip.
Antara pemeriksaan yang dibuat adalah ujian tekanan air, pengesanan suhu air, keadaan saluran hos dan sumber air.
Jelas Saksi Pendakwaaan ke-22 itu kesemua bahagian mesin dalam keadaan baik kecuali bahagian kepala paip yang perlu ditukar selepas mendapati ianya bocor.
Sebelum itu pada prosiding sebelah pagi pula, juruteknik servis syarikat penapis air, Azrin Aishah Radzi menjelaskan tiada sebarang rekod masalah yang dihadapi Siti Bainun dari bulan Mac 2021 dalam sistem syarikat.
Malah Azrin Aishah menyangkal cadangan pihak pembelaan yang menyatakan dirinya tidak menyempurnakan kerja servis selengkapnya.
Menurut Aishah dia tidak pernah membuat perkara demikian dan akan dikenakan tindakan oleh syarikat sekiranya berbuat perkara itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
(Siti Bainun pada prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur)