KEMAMAN, 27 Oktober - Seorang pekerja am terkejut setelah menemui janin yang cukup sifat bersama uri sewaktu melakukan kerja-kerja pembersihan tandas wanita di Masjid Kampung Labohan, Kerteh tengah hari tadi.
Kariza Muda, 49, berkata dia menemui janin dianggarkan berusia empat bulan itu di lantai tandas wanita berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari.
"Saya masuk hendak cuci tandas dalam pukul 12.15 lebih kurang...saya masuk saya tengok tong sampah bawah sinki itu telangkup. Lepas itu, saya nampak janin itu dalam tandas, atas lantai. Saya ambil...saya alihkan dulu lepas itu saya teruskan cuci tandas," katanya ketika ditemui di Masjid Labohan, Kerteh, di sini.
Kariza berkata, dia kemudiannya memaklumkan penemuan janin tersebut kepada ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika ditemui berkata pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan janin tersebut sekitar pukul 3.00 petang.
Katanya, janin tersebut telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan televisyen litar tertutup yang terdapat di kawasan masjid sedang dilakukan selain klinik-klinik berhampiran bagi mengesan wanita yang keguguran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.