fb fb fb fb fb

Sindiket salah guna logo PDRM, KDN dan AADK, tumpas

(Antara barangan yang dirampas hasil serbuan ke beberapa buah premis)

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Sindiket menyalahgunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak 2013 berjaya ditumpaskan.

Dalang utama sindiket itu berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ditahan pada Ahad lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, hasil tindakan daripada laporan yang diterima pada 20 Oktober lalu, pihak polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sentul telah berjaya menangkap lima lelaki warga tempatan berumur antara 32 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan.

"Hasil serbuan ke atas beberapa buah premis kediaman dan perniagaan, pihak polis berjaya merampas beberapa jenis barangan yang dikaitkan dengan kes penipuan iaitu 19 helai t-shirt, 15 topi, 143 keping pelekat kenderaan, 20 lambang kenderaan, tiga kad kuasa Biro Komuniti Cegah Jenayah, lima kad ahli kehormat, empat acuan cetakan dan lain-lain," katanya pada sidang media.

Tambah beliau, "pembongkaran aktiviti tersebut hasil daripada laporan seorang pengadu yang telah ditipu oleh dua suspek warga tempatan dan dipelawa menyertai pertubuhan NGO sebagai ahli Biro Cegah Jenayah Malaysia dengan dikenakan yuran keahlian sebanyak RM2,200.

Pengadu turut diperdaya untuk menjual meja makan bagi satu Majlis Makan Malam Perdana di sebuah hotel di Selayang dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM17,000.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdayakan pengadu sehingga mengakibatkan kerugian, Seksyen 89(b) Akta Polis 1967 kerana menjual dan membekal tanda atau lencana anggota pasukan polis dan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana memiliki lambang atau lencana tanpa kelulusan pendaftar.

(Beh Eng Lai pada sidang media di IPD Sentul)

Media Baharu