fb fb fb fb fb

Projek tebatan banjir LPT1: Laluan kontra di Lebuhraya KL-Karak diaktifkan

(Maklumat pengaktifan laluan kontra KM 123.10- KM 124.70 LPT1 mulai semalam)

KUANTAN, 21 Julai- Laluan kontra di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) membabitkan laluan dari Kilometer (KM) 123.10 hingga KM124.70 arah Kuantan diaktifkan bermula semalam.

Ia bertujuan meminimumkan gangguan aliran trafik utama susulan kerja projek tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Pengerusi Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Dr Nik Hussein memaklumkan projek tebatan banjir berkenaan membabitkan penambakan laluan utama dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, menaikkan tahap ketinggian laluan utama, penambahbaikan menyeluruh kepada laluan air sedia ada, dan pembinaan saluran air tambahan di kawasan tersebut.

"Projek tebatan banjir ini bertujuan menangani peningkatan paras sungai dan kawasan tadahan hujan yang sebelum ini menjejaskan laluan utama LPT1.

"Skop kerja ini akan membabitkan 14 kawasan yang dikenal pasti di laluan utama di dalam Right of Way (RoW) lebuh raya terbabit," katanya dalam satu kenyataan.


(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun padang meninjau keadaan kerja-kerja
di tapak projek tebatan banjir di KM124 LPT 1/ FB Lebuhraya Pantai Timur)

Mengulas lanjut, Nik Fauzi berkata, sejak LPT1 dibuka, empat kejadian banjir berlaku iaitu pada 2007, 2014, Januari 2021 dan Disember 2021 yang mengakibatkn lebuh raya ditutup kepada semua jenis kenderaan selama beberapa hari.

Keseluruhan projek tebatan banjir dijangka mengambil masa empat tahun melibatkan kerja-kerja menaikkan paras permukaan jalan sedia ada berdasarkan paras banjir tertinggi yang direkodkan di LPT1.

Ia juga meliputi pembinaan selenggaraan tambahan di kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada masuk ke laluan utama.

Pengguna laluan dinasihat merancang perjalanan dan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

Media Baharu