fb fb fb fb fb

Kapal Kargo Karam: Operasi SAR berdepan kesukaran

SEBUYAU, 21 Julai - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan anak kapal yang hilang berdepan kesukaran selepas kapal kargo yang dinaiki mereka dipercayai karam dan terbalik di kawasan perairan Pulau Burung di Sebuyau, Sarawak.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, berkata ini kerana kedudukan kapal yang terbalik dan tersangkut di perairan cetek.

"Setakat ini masih terlalu awal untuk kita menentukan bahawa sembilan mangsa terperangkap di bawah kapal. Kami akan perluaskan operasi pencarian di perairan Pulau Burung Sekiranya masih tiada penemuan kesemua mangsa, pihak kami akan membuat pemeriksaan menggunakan kaedah menyelam," katanya kepada RTM.

Difahamkan sembilan krew itu merupakan empat warga Malaysia, empat orang warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.

Semalam, pihak bomba menerima laporan berhubung insiden tersebut kira-kira pukul 2 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi jeti feri Batang Lupar,

Setakat 3.20 petang semalam, kapal KM Kota Kinabalu yang berada di lokasi kejadian tidak menemui kesemua mangsa.

Antara aset yang telah dikerahkan ke lokasi kejadian ialah jenis kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bot Kilat 35 dan aset udara AS355N Pasukan Gerakan Udara PDRM.

Kapal kargo sepanjang 56 meter itu dipercayai karam semasa pelayaran membawa batu kelikir dari Kuching ke Sibu.

Difahamkan, insiden terbabit berlaku akibat cuaca ribut beserta dengan angin dan hujan kuat sehingga menyebabkan kapal kargo terbabit terbalik.

Media Baharu