(Ismail Sabri pada JAKM Kuantan, Pahang)
KUANTAN, 29 Oktober- Kerajaan persekutuuan menyediakan pelbagai projek pembangunan di Pahang termasuk menyediakan RM1.8 bilion di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai bagi menghadapi monsun timur laut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.
Selain itu, terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran.
Sementara bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang, Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water
(NRW).
Katanya, kerajaan menyediakan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi menyahut Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
Fasa pertama di Pahang melibatkan lapan lokaliti yang akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR).
Ia adalah Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli (KOA) Kuin/ Lengut, daerah Bera; Kampung Kechau Tui, daerah Lipis; Kampung Lada, daerah Jerantut; Kampung Bolok, daerah Temerloh; Kampung Pasir Panjang, daerah Pekan; KOA Chenan Cerah, daerah Cameron Highlands; KOA Langkap Lama, daerah Rompin; dan KOA Tungau, Pos Lenjang, daerah Lipis.
(Foto hiasan)
Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekaligus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.
Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi rojek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.
Kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 km tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Dalam sektor pendidikan di Pahang pula, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK-12 Tahun 2022.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Aspirasi #Keluarga Malaysia di Kuantan, Pahang.