fb fb fb fb fb

Azman Aziz dilantik sebagai Presiden ISSA ke-17

FOTO FB PERKESO

KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dipilih sebagai Presiden International Social Security Association (ISSA) yang ke-17.

Beliau bakal menerajui ISSA bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025 sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

Menerusi kenyataan, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman berkata pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan semua warga PERKESO kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

Beliau akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial selain memastikan setiap ahli ISSA dapat melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat.

ISSA yang telah ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perlindungan keselamatan sosial pada Persidangan Agung International Social Security Association (ISSA) semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia (World Social Security Forum, WSSF) 2022 yang diadakan di Maghribi pada 23 hingga 28 Oktober 2022.


(FOTO FB PERKESO)

 

Media Baharu