fb fb fb fb fb

Menteri dan Timbalan Menteri perlu hormati prinsip 'Collective Resposibility' - Annuar Musa

(Tan Sri Annuar Musa meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Peringkat DUN Melor di Peringat, Kota Bharu)

KOTA BHARU, 29 Oktober- Individu yang masih bergelar Menteri atau Timbalan Menteri yang dilantik di sesebuah kementerian perlu terus menghormati prinsip 'Collective Responsibility' meskipun ketika tempoh Kerajaan Sementara menjelang Pilihanraya Umum Ke - 15 (PRU 15).

Justeru itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata adalah tidak wajar kepada individu terbabit menyerang kerajaan sendiri, apatah lagi serangan dilakukan sama sekali tidak berasas.

Menyifatkan ia seperti meludah ke langit muka juga yang basah, beliau berkata tindakan sedemikian hanya menunjukkan kelemahan kepada individu itu sendiri.

"Adakah dia lupa anggota Jawatankuasa Pasukan Jihad itu dari parti dia sendiri, macam mana dia menyerang tuduhan itu faktanya jauh tersasar, nak melontarkan janji pilihanraya mestilah berpada- pada.

"Jadi saya punya nasihat kepada semua termasuk diri saya menteri dan timbalan menteri harus ingat walaupun parlimen dibubarkan, prinsip 'Collective Responsibility' itu masih ada bukan semua lari abaikan kerajaan dan tidak mempertahankan apa yang kerajaan lakukan ataupun tidak memberi penjelasan kepada rakyat,"katanya.

Beliau di temui media selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Peringkat DUN Melor di Peringat, Kota Bharu.

Pada masa sama, Tan Sri Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi menyarankan supaya individu berkenaan sebaiknya meletak jawatan jika tidak mendokong apa jua tindakan kerajaan yang telah diputuskan secara bersama.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi bual bicara bertajuk 'PRU15: BN-PN-PH, anak muda pilih mana?' antara lain mendakwa Pasukan Jihad Tangani Inflasi gagal kerana menyerahkan tanggungjawab kepada menteri yang tiada kaitan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan selain turut menyerang kredibiliti Perdana Menteri.


(Tan Sri Annuar Musa pada sidang media selepas meninjau Program Jualan
Murah Keluarga Malaysia Peringkat DUN Melor di Peringat, Kota Bharu)

Media Baharu