fb fb fb fb fb

Orang ramai diminta henti sebar spekulasi, siasatan diserah kepada pihak berkuasa

Fadhlina Sidek/ BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 7 Ogos - Orang ramai diminta menghentikan sebarang penyebaran cerita rekaan atau spekulasi berhubung kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memberi kerjasama penuh dan tiada pihak yang akan dilindungi dalam proses itu.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa tanpa campur tangan luar yang dikhuatiri menjejaskan integriti siasatan terbabit.

"Kita semua mahukan keadilan itu dan berharap agar siasatan ini dapat dirungkai segera. Pada masa sama kita beri ruang kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan supaya dapat berlangsung dengan baik.

"Seterusnya dapat mengelakkan fitnah dan spekulasi yang boleh memberi kesan terhadao siasatan kes. Mudah-mudahan kes ini dapat dirungkai dan kebenaran serta keadilan dapat diberikan kepada semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura kepada Sekolah Autistik kepada 12 sekolah terpilih di Sekolah Sinar Harapan, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan, Zara Qairina, 13 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.

Pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada pukul 4.00 pagi, 16 Julai lepas.

Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipulangkan semula Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI