fb fb fb fb fb

Projek Solar Terapung Hidro Hibrid, Hab Hidrogen Hijau pacu transformasi tenaga lestari

Foto RTM

KUALA BERANG, 12 Julai – Peluncuran projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau hari ini mencerminkan satu paradigma baharu dalam pembangunan tenaga lestari dan inovatif di peringkat nasional, sekali gus memperkukuh Agenda Tenaga Bersih Negara.

Projek berimpak tinggi itu turut menandakan kerjasama strategik erat antara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Persekutuan dan negeri, melibatkan Tenaga Nasional Berhad Genco (TNB Genco), PETRONAS dan Terengganu Inc.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata berkata projek yang menggabungkan teknologi Hidro Hibrid itu akan menjadi pemacu utama kepada pembinaan Hab Hidrogen Hijau pertama di Terengganu.

"Projek ini bakal menyaksikan pembangunan ladang solar terapung berkapasiti sehingga 2,500 megawatt di atas permukaan air Tasik Kenyir, yang merupakan antara cadangan pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar terbesar di Asia Tenggara.

"Projek Solar Terapung Hidro Hibrid yang diluncurkan hari ini merupakan teknologi yang menggabungkan sistem solar fotovoltaik terapung dengan sistem hidroelektrik sedia ada dalam satu operasi terintegrasi.

"Sistem ini menawarkan beberapa kelebihan yang signifikan," katanya pada Majlis Peluncuran Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di sini.

Selain itu, pelancaran Hab Hidrogen Hijau turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi hidrogen Malaysia menerusi penghasilan vektor tenaga bersih melalui teknologi elektrolisis air bertenaga boleh baharu.

Teknologi itu mampu menyimpan tenaga untuk jangka panjang dan menyelesaikan isu intermittensi dalam sistem tenaga boleh baharu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut disaksikan oleh Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, serta Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM