KUALA LUMPUR, 12 Julai – Malaysia mencatat kehadiran seramai 4.82 juta pelancong Muslim pada tahun 2024, dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM15 bilion, meningkat berbanding 4.5 juta pelancong yang direkodkan pada tahun 2023.
Sehubungan itu, usaha memperkukuh segmen pelancongan patuh syariah terus dipergiat, termasuk menonjolkan sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu, selain memperkenalkan budaya dan makanan halal kepada pelancong.
Presiden Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata pendekatan baharu kini turut merangkumi konsep pelancongan spiritual dan eko-pelancongan sebagai tarikan utama pelancong Muslim.

Presiden BUMITRA, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin / Foto RTM
“Kita cuba kaitkan eko-pelancongan dengan spiritual tourism, bukan sahaja untuk mencari ketenangan, tetapi juga untuk mengenali sejarah Islam yang ada di Malaysia.
"Secara tidak langsung, ini memberi keyakinan kepada pelancong Muslim bahawa lawatan ke Malaysia bukan sahaja patuh syariah, malah turut menawarkan penginapan dan makanan halal yang diyakini,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Menurut beliau, setakat ini terdapat 52 hotel patuh Muslim di seluruh negara, manakala seramai 306 pemandu pelancong mesra Muslim telah disahkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC).
Malaysia juga terus mengekalkan reputasi global sebagai destinasi pelancongan Islam utama dengan sembilan kali berada di kedudukan pertama dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI).
Malah, negara turut menerima pengiktirafan "Destinasi Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini (OIC)" tahun lalu, satu pencapaian yang menegaskan keupayaan Malaysia sebagai peneraju pelancongan Islam di peringkat antarabangsa.