fb fb fb fb fb

Penurunan OPR dijangka ringankan beban PMKS, rangsang pertumbuhan ekonomi

Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka memberi impak positif kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) / Foto hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan baru-baru ini dijangka memberi impak positif kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), khususnya dari aspek pembiayaan dan pengurusan kos operasi.

Langkah tersebut membuka peluang kepada usahawan untuk mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan beban kewangan serta meningkatkan aliran tunai perniagaan.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Noradli Ridzwan Shah Mohd Dali penurunan kadar pembiayaan yang berkait rapat dengan penurunan OPR memberi manfaat kepada usahawan dalam dua aspek utama – iaitu pinjaman jangka panjang bagi pembelian aset seperti premis dan pinjaman jangka pendek untuk keperluan modal pusingan.

1207 SPM OPR PMKS IMPAK POSITIF 2
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Noradli Ridzwan Shah Mohd Dali / Foto RTM

"Ansuran yang berkurangan bermakna bayaran bulanan akan lebih rendah. Bila kadar OPR turun, bank lazimnya menawarkan pembiayaan dengan kadar lebih rendah.

"Ini membolehkan PMKS mendapatkan pinjaman daripada bank komersial dan institusi kewangan pembangunan dengan lebih mudah. Secara tidak langsung, ia boleh menurunkan kos operasi tetap seperti sewa dan kos logistik,” jelasnya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam Program Selamat Pagi Malaysia.

Tambah beliau, penurunan kadar OPR bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan pengguna, malah berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya dalam kalangan pengusaha PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Sebelum ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu lepas telah mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas, menjadikan kadar semasa kepada 2.75 peratus.

Dalam kenyataan rasmi, BNM turut memaklumkan kadar siling dan lantai OPR kini masing-masing ditetapkan pada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN