fb fb fb fb fb

Projek RTB Sungai Batu Pahat bakal selamatkan 35,000 penduduk

(K. Raven Kumar pada Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini)

JOHOR, 23 Jun- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Batu Pahat, di sini bakal menyelamatkan lebih 35,000 penduduk sekitar lembangan sungai yang terdedah kepada risiko banjir.

EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar memaklumkan projek yang bakal menelan kos RM190 juta itu dijangka bermula tahun depan.

Pelaksanaan RTB juga akan mengurangkan kejadian banjir kilat semasa pertembungan air pasang dan hujan berterusan.

(K. Raven Kumar)

Antara kerja-kerja yang akan dilakukan ialah membaik pulih tebing sungai serta menaiktaraf benteng sungai yang rendah.

Sebelum ini, inisiatif jangka masa pendek telah dilaksanakan membabitkan pembinaan benteng di pintu air Kampung Parit Lapis, melibatkan kos RM161,798 ringgit pada tahun lalu.

"Untuk tahun 2022, penyelesaian jangka pendek diteruskan dengan melaksanakan kerja pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di Taman Batu Pahat, Jalan Pantai, Jalan Masjid, Parit Johar, Parit Sri Molek dan Kampung Muhibbah, Batu Pahat dengan jumlah peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,070,000.00," katanya.

Beliau bercakap ketika sesi jawapan lisan pada Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Projek RTB fasa 1 di Segamat sebelum ini berjaya mengurangkan kadar penduduk terjejas banjir di daerah tersebut hingga 52% atau 11,040 orang berbanding lebih 21,000 orang sebelum projek berkenaan siap.

Media Baharu