fb fb fb fb fb

Projek RTB, hakisan pantai dilaksana secara berfasa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUANTAN, 19 Oktober- Kerajaan sentiasa memfokuskan usaha mencari penyelesaian kepada masalah banjir yang melanda negara dengan memberikan keutamaan melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan berisiko.
 
Selain memfokuskan kepada isu banjir, kerajaan juga memberi perhatian terhadap masalah hakisan pantai yang berlaku ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan usaha menangani hakisan pantai dilakukan secara berfasa bagi mengelakkan perbelanjaan lebih tinggi pada masa hadapan.

"RM1 trillion kalau kita tak buat sekarang, itu sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan RTB ini secara berfasa di Pahang.

"Kita lihat sekarang ini musim banjir ikut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sepatutnya Monsun Timur Laut (MTL) bermula November, minggu pertama. Jadi sistem amaran awal turut membantu dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Halal on Track 2024 @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini.

Projek tebatan banjir yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan juga sedang mempertimbangkan pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal yang dilengkapi kemudahan asas bagi menggantikan penggunaan sekolah dan dewan yang sebelum ini dijadikan PPS apabila berlaku banjir.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebanyak RM600 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan menghadapi banjir ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
 
Jumlah itu termasuk penyaluran segera RM150 juta kepada JPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kawasan berisiko banjir.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI