fb fb fb fb fb

Kes MBI, serbuan premis dilaksana bergantung siasatan - SPRM

Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 19 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak sebarang kemungkinan terdapat serbuan baharu ke atas premis yang dikaitkan dengan kes Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Siasatan akan dijalankan daripada semua aspek bagi mengumpul bukti sebelum pendakwaan dilakukan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata anggota penyiasat tidak akan teragak-agak untuk menjalankan serbuan ke atas mana-mana premis yang disyaki bagi mendapatkan bukti, sekiranya perlu. 

Sehingga kini, 20 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar hasil rampasan di sembilan lokasi serbuan akan didedahkan selepas semua bukti diperoleh daripada pegawai siasatan.

"Saya tidak menolak kemungkinan. Kalau ada, kerja kami untuk dapatkan bukti-bukti. Sekiranya ada bukti, kalau perlu geledah, kita akan geledah.

Nama yang digunakan itu tidak penting, rumah selamat (safe house) atau rumah simpanan. Tidak kisah mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti, menjadi tugas pegawai penyiasat untuk mencari bukti berkenaan," kata Tan Sri Azam kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Tamat Latihan Dan Pentauliahan Kadet KOR Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah, KOR SUAR di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini.

39 kadet KOR SUAR UniSZA ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda, YIO SPRM.

UniSZA adalah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tunggal yang menubuhkan KOR SUAR bagi melahirkan graduan berintegriti tinggi.

Bagi tujuan penambah baikan, modul KOR SUAR akan diperkasa dengan memperkenalkan program latihan persenjataan mulai semester depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM