BUTTERWORTH, 19 Oktober- Kerajaan Pulau Pinang berharap pelaksanaan Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua dapat disegerakan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, setakat ini anggaran kos bagi projek tersebut bernilai RM2 bilion.
Bagaimanapun jelasnya, butiran terperinci berkenaan projek tersebut masih belum diketahui.
Justeru, penelitian lanjut berkaitan pelaksanaan projek itu sedang giat dilaksana agensi berkaitan.
"Dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) mungkin meningkat dari RM1.8 bilion kepada RM2 billion. Sekarang PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan agensi berkaitan sedang meneliti pelaksanaannya dan itu pun menjadi hasrat kerajaan negeri.
"Dalam ulasan pasca Belanjawan 2025 semalam saya fokus kepada pelaksanaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER: Kemahiran dan Keusahwanan bagi Daerah Seberang Perai di Pusat Konvensyen PICCA, di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa projek daripada kerajaan Persekutuan khusus untuk Pulau Pinang dalam Belanjawan 2025.
Perkara itu termasuk Projek Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Seberang Perai, Projek Transit Aliran Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3.
Dalam perkembangan lain, tiada laporan berkenaan kejadian banjir diterima di Pulau Pinang setakat ini, berikutan fenomena air pasang besar dan risiko banjir yang dijangka berlaku hingga Isnin ini.
Pada masa sama Chow Kon Yeow menasihatkan pengunjung dan penduduk negeri itu supaya terus berwaspada memandangkan negeri itu masih berada dalam jangkaan fenomena berkenaan.
Perkara itu termasuk mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran pantai terutama ketika angin kencang dan ombak kuat.
"Setakat ini tiada laporan mengenai banjir dan sebagainya. Keadaan masih terkawal dan saya akan melawat beberapa tempat bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kita juga nasihatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke kawasan pantai dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia untuk menangani kejadian luar jangka," katanya.
Terdahulu, JPS Pulau Pinang menjangkakan fenomena air pasang besar akan berlaku dari 18 hingga 21 Oktober ini.