fb fb fb fb fb

Lebuhraya Bertingkat Juru, Sungai Dua selesai isu kesesakan

Zairil Khir Johari

GEORGE TOWN, 19 Oktober- Isu kesesakan lalu lintas di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang dapat diselesaikan sekiranya Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, siap dilaksanakan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, ia berikutan lebuhraya bertingkat itu memisahkan trafik tempatan dengan trafik terus menghala ke bahagian utara atau selatan.

"Dengan adanya trafik bertingkat ini maka ia akan memisahkan trafik tempatan iaitu kenderaan yang ingin kawasan-kawasan tempatan dengan trafik terus iaitu kenderaan yang menghala terus ke bahagian utara atau selatan.

"Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dialami sekarang memandangkan kedua-dua trafik itu terpaksa berkongsi jalan yang sama," katanya ketika dihubungi RTM.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan memudahcara dan memberi sokongan penuh bagi memastikan projek ini dapat dijalankan secepat mungkin.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa projek daripada kerajaan Persekutuan khusus untuk Pulau Pinang dalam Belanjawan 2025.

Ini termasuk Projek Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Seberang Perai, Projek Transit Aliran Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI