REMBAU, 25 Julai - Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau yang bernilai RM91.2 juta kini siap sepenuhnya dan sedia diduduki pada September ini.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, Projek PPR Rembau yang mula dibangunkan pada 4 Mac 2020 itu disiapkan sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara pada 27 Februari lalu.
"Penyempurnaan PPR Rembau ini menjadi bukti bahawa tekad dan iltizam kerajaan untuk membantu rakyat terutama golongan B40 untuk memiliki rumah adalah hakikat yang boleh diyakini oleh rakyat keseluruhannya. Alhamdulillah, pada hari ini, seramai 166 peserta yang layak setelah melalui proses saringan, akan menerima surat tawaran bagi menduduki unit di PPR ini bagi fasa pertama", katanya.
Beliau berucap demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Perumahan Rakyat (PPR) Rembau Mukim Chembong di Dewan Komuniti PPR Rembau.
Dalam pada itu, permohonan bagi baki unit yang belum diisi di PPR Rembau kini dibuka melalui Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) sehingga 10 Ogos 2025.
Projek itu dibina di atas tanah seluas hampir 40 ekar dan projek menyediakan 452 unit rumah teres setingkat dengan keluasan 700 kaki persegi setiap satu.
Rata-rata penerima tawaran PPR menyifatkan projek ini sebagai peluang yang amat bermakna, khususnya bagi mereka yang belum pernah memiliki rumah sendiri.
Penjawat awam, Suzalina Moham Md Jale meluahkan rasa syukur apabila berjaya memperoleh tawaran rumah setelah menunggu hampir setahun selepas disenarai pendek.
"Saya rasa gembira sangat kerana dapat tawaran rumah dengan bayaran bulanan yang rendah. Terima kasih kepada kerajaan yang beri peluang kepada kami golongan B40", katanya.
Sementara itu, seorang usahawan, Normasita Md Diah, turut berkongsi keterujaan.
“Dua minggu lepas kami dapat panggilan, memang rasa sangat gembira sebab tak pernah ada rumah sendiri. Terima kasih kepada kerajaan kerana bina rumah mampu milik untuk semua", katanya.
Manakala pekerja sendiri, Nur Syawal Hidayu Rozali, menyatakan rasa syukur kerana ditawarkan rumah PPR dengan harga yang jauh lebih rendah.
"Sebagai rakyat biasa dengan pendapatan sederhana, peluang ini memang sangat berbaloi", katanya.
Kerajaan MADANI melalui KPKT terus komited dalam menyediakan kemudahan perumahan mampu milik untuk rakyat, selaras dengan agenda kesejahteraan dan keterjaminan hidup seluruh warga Malaysia.