BANDARAYA MELAKA, 25 Julai- Sejumlah 58.4 peratus rakyat Melaka didapati berlebihan berat badan dan obesiti, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023.
Exco Kesihatan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata peratusan itu lebih tinggi berbanding diperingkat nasional iaitu 54.4 peratus.
Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka giat melaksana pelbagai kempen berkaitan pemakanan dan gaya hidup sihat termasuk kempen mengurangkan pengambilan gula.
"Kita juga melaksanakan satu lagi kempen untuk mengurangkan pengambilan gula di premis makanan. Hari ini, kita ingin menyampaikan mesej, demi kesihatan rakyat Melaka khususnya.
Kempen ini dilaksanakan bagi mengurangkan pengambilan gula demi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta menurunkan kadar obesiti di negeri ini," katanya selepas mengadakan tinjauan mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) bersama Jabatan Kesihatan Negeri di sekitar Plaza Mahkota, di sini.
Berdasarkan laporan NHMS 2023, 33.3 peratus rakyat Melaka didapati mempunyai berat badan berlebihan manakala 25.1 peratus mempunyai masalah obesiti.
Jumlah itu masing-masing lebih tinggi berbanding dapatan di peringkat nasional iaitu 32.6 peratus berlebihan berat badan dan 21.8 peratus obesiti.