KUALA LUMPUR, 25 Julai – Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyatakan sokongan terbuka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI yang disifatkan membawa manfaat langsung kepada rakyat.
Pengerusi Sekretariat Bela Negara (SBN), Mustaffa Kamil Ayub berkata rakyat perlu menghentikan budaya memperlekeh atau mempermainkan pengumuman penting yang dibuat oleh Perdana Menteri, termasuk enam inisiatif utama yang diumumkan baru-baru ini.
"Kita menyeru rakyat Malaysia tidak mempermainkan pengumuman penting Perdana Menteri, 6 perkara penting yang beliau umumkan.Bukan untuk dipermainkan dan seharusnya kita harus bersyukur walaupun tidak besar, tapi dalam keadaan negara-negara lain merintih dan banyak kesusahan yang mereka alami.
"Namun dalam keadaan yang sempit demikian pun Kerajaan MADANI di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusahakan sesuatu yang boleh mengurangkan sedikit kesempitan yang dialami, yang membuktikan betapa keprihatinan, ketelusan Kerajaan MADANI yang ada pada hari ini, berusaha sebaik mungkin untuk memberikan keutamaan kepada keselesaan rakyat," katanya dalam sidang media khas NGO, di sini hari ini.
Mustaffa turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang aktif memperjuangkan kepentingan rakyat bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di pentas antarabangsa termasuk isu Palestin, tarif perdagangan yang adil, serta kerjasama ekonomi serantau menerusi ASEAN.
Sementara itu, wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar menyifatkan kejayaan yang dibawa oleh Perdana Menteri dalam tempoh kurang tiga tahun mentadbir sebagai pencapaian besar yang wajar dihargai oleh rakyat.
“Enam perkara yang diumumkan Perdana Menteri semalam ini baru permulaan. Tapi rakyat sudah mula merasai manfaatnya. Kalau ada yang kata ini gula-gula, tak mengapa tapi ini gula-gula yang sampai terus kepada rakyat, bukan kepada ahli politik yang korup,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menyokong kenyataan SBN dan memastikan kesinambungan dasar-dasar Kerajaan MADANI dapat diteruskan dengan baik.
“Saya juga mengharapkan kepada mereka yang berhimpun esok agar menjaga tatasusila dan tingkah laku. Ini penting untuk menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI tidak menyekat kebebasan bersuara, namun kebebasan itu tidak boleh disalah guna hingga mencetuskan jenayah atau ketidaktenteraman awam,” tambahnya.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Mustapa Mansor selaku Pengerusi Sekretariat Bela Pertiwi dan Shahbudin Embun selaku Pengerusi Biro Politik Sekretariat Perpaduan yang juga merangkap Timbalan Pengerusi SekPur.
Kesemua mereka menyatakan komitmen penuh untuk terus berdiri bersama Kerajaan MADANI dalam memulihkan imej negara dan memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia.
Mustaffa menegaskan, mesej utama SBN ialah menyeru seluruh rakyat agar tampil menyokong usaha pemulihan negara di bawah pimpinan Anwar demi masa depan yang lebih stabil dan sejahtera.