ALOR SETAR, 25 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Thailand dan Kemboja akan menghentikan serangan agar proses damai antara kedua-dua negara dapat diadakan.
Perdana Menteri berkata Thailand dan Kemboja secara prinsipnya bersama untuk menghentikan peperangan tetapi terdapat beberapa isu pelanggaran di sempadan.
Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata terdapat usaha untuk menimbulkan pensengketaan, namun Malaysia tentunya tidak memandang ringan biarpun ada pihak lain sengaja untuk menimbulkan masalah dan cuba mengagalkan usaha damai itu.
"Saya percaya setakat ini kepimpinan kedua-dua negara berkenaan kelihatan bersedia, namun kita perlu terus berwaspada kerana rantau ASEAN mempunyai kedudukan yang sangat strategik dari segi geopolitik. Sudah tentu akan ada usaha untuk menimbulkan persengketaan. Oleh itu, semua negara kita waspada.
Bagi Malaysia, walaupun keadaan kita stabil, saya tidak memandang ringan perkara ini. Kita wajar belajar daripada pengalaman negara jiran kerana sentiasa ada usaha yang cuba mencetuskan masalah dalaman," kata Datuk Seri Anwar kepada pemberita selepas Sesi Perjumpaan Pimpinan Keadilan, di sini.
Menurutnya, pimpinan kedua-dua negara bersedia untuk berdamai dan beliau optimis Thailand dan Kemboja akan menghentikan serangan supaya proses damai diteruskan.