fb fb fb fb fb

Festival Flora Borneo (BFF) 2025 dijangka beri impak besar pada ekonomi Labuan

Raptai dan persiapan terakhir bagi program Festival Flora Borneo (BFF) 2025 di Labuan berjalan lancar ketika tinjauan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, di tapak acara hari ini/ Foto BERNAMA

LABUAN, 25 Julai - Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang akan bermula secara rasmi esok, memperlihatkan kesan limpahan ekonomi yang ketara di seluruh Labuan dengan kehadiran ribuan pengunjung di festival lima hari itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata skala penganjuran acara berkenaan telah mendorong penglibatan aktif penduduk tempatan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di seluruh pulau itu.

Jelas beliau, unjuran awal menunjukkan peniaga dan pengusaha perniagaan dijangka menjana pendapatan lebih RM20 juta, didorong oleh permintaan yang tinggi terhadap barangan, perkhidmatan, dan penginapan sepanjang acara itu berlangsung.

"Sudah tentu ini akan memberikan satu impak yang agak besar kepada Labuan dan saya berharap kita akan mencapai kepada sasaran kita seramai 50,000 pengunjung untuk lima hari daripada 26 haribulan hinggalah 30 haribulan Julai ini," kata beliau kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan dan raptai majlis di lokasi penganjuran BFF di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan,di sini hari ini.

Persiapan terakhir dilaksanakan memperlihatkan penganjurannya yang julung kali diadakan di wilayah ini, bakal mempamerkan satu keunikan panorama flora untuk warga Labuan dan pelancong yang datang.

Ia sekali gus mengangkat potensi Labuan sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan alam flora dan budaya di rantau Borneo.
 
Zaliha turut menzahirkan penghargaan atas kerja berpasukan membabitkan Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjayakan penganjuran festival flora itu.
 
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berkenan merasmikan pembukaan BFF 2025 pada kali ini.
 

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN