KOTA BHARU, 25 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon penambahan anggota penguat kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memperkukuh pelaksanaan tugas dan agenda kementerian itu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat berkata jumlah keanggotaan seramai 2,300 anggota di seluruh negara masih belum mencukupi.
Tambahnya, penambahan anggota itu perlu bagi memperkasa pelaksanaan 13 akta di bawah KPDN terutama melibatkan pemantauan subsidi dan harga barang.
Setakat ini, KPDN mendapat lebih 200 pengisian pegawai tambahan sedia ada, namun mengakui ia belum cukup untuk melaksanakan tugas secara lebih berkesan.
"Kita memerlukan lebih ramai pegawai bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di semua peringkat. Ini kerana terdapat 13 akta yang memerlukan jumlah anggota mencukupi untuk dikuatkuasakan, khususnya dalam membantu kerajaan menangani isu ketirisan barang kawalan.
Apabila kerajaan melaksanakan dasar baharu, kita perlu memastikan harga kekal stabil dan bekalan mencukupi. Begitu juga dengan peluasan skop SST, penguatkuasaan penting bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga. Oleh itu, pemantauan berterusan dilaksanakan," kata Aris kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Badminton Antara Agensi sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53 peringkat negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Panji, di sini.
Kejohanan tersebut disertai kira-kira 32 agensi penguat kuasa dan jabatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Penjara.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada KPDN Kelantan berikutan kejayaan membuka 572 kes penyelewengan barang kawalan, dengan nilai sitaan mencecah RM2.1 juta.
Katanya, sebanyak 349 kes dikompaun dengan nilai keseluruhan RM441,950 manakala 33 kes dibawa ke mahkamah membabitkan denda berjumlah RM130,000.