PUTRAJAYA, 25 Julai – Malaysia merakamkan rasa dukacita susulan insiden nahas udara melibatkan Penerbangan Angara 2G2311 di Wilayah Amur, Timur Jauh Rusia, yang telah mengorbankan kesemua 48 individu di dalam pesawat.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia bersolidariti penuh bersama kerajaan dan rakyat Rusia dalam menghadapi saat sukar itu.
“KLN menyampaikan ucapan takziah dan simpati setulus hati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan oleh tragedi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Ignatyevo ke Lapangan Terbang Tynda dilaporkan terhempas pada 24 Julai lalu ketika cubaan untuk mendarat.
Tragedi itu mengorbankan kesemua 42 penumpang dan enam anak kapal.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia yang terlibat dalam nahas berkenaan.