fb fb fb fb fb

Projek Perumahan Rakyat Termiskin, KPLB laksana garis panduan baharu

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat garis panduan baharu berkaitan kos terkini Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata keperluan itu bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menurut beliau, buat masa ini tiada kontraktor yang mahu membina rumah PPRT yang bernilai RM56,000 sebuah disebabkan masalah harga.

“Dengan kadar harga RM56,000 sebuah rumah PPRT yang sekarang ini memerlukan lebih kurang RM67,000 (sebuah) untuk pelaksanaan dan tidak ada kontraktor yang sanggup membina pada masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan peningkatan kos pengeluaran bahan binaan dan kadar upah buruh, sidang dewan diberitahu bahawa peruntukkan untuk membina sebuah rumah PPRT telah meningkat kepada RM67,000 berbanding RM56,000 sebelum ini.

(Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/FOTO BERNAMA)

Abdul Rahman merujuk pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif yang ingin tahu sama ada kementerian tersebut bercadang meningkatkan peruntukan bagi memastikan rumah PPRT yang berharga RM56,000 sebuah dapat disiapkan.

Sementara itu, beliau menafikan KPLB mempunyai projek sakit di Sabah dan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan sebarang projek dilaksanakan mengikut perancangan.

Beliau menjawab soalan Noorita Sual (PH-Tenom) yang ingin tahu sejauh mana KPLB memantau projek pembangunan dan infrastruktur di Sabah.

Media Baharu