fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 keluarga di Terengganu terima Rumah Kasih Ehsan

Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif melawat reruai di majlis Jelajah Kesejahteraan rakyat zon selatan di Dungun

DUNGUN, 3 Oktober - Usaha membela rakyat berpendapatan rendah melalui projek pembinaan rumah baharu dan baik pulih kediaman terus dipergiat.

Inisiatif itu bagi memastikan golongan miskin mendapat kediaman lebih selesa.

Pengarah Pembangunan Persekutuan Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata lebih seribu keluarga di negeri itu sudah menerima manfaat menerusi inisiatif Rumah Kasih Ehsan sejak tahun lalu.

524 rumah baharu bernilai RM80,000 seunit berjaya dibina sejak tahun lalu.

Manakala 658 rumah dibaik pulih dengan kos RM25,000 setiap satu.

Keseluruhannya melibatkan peruntukan berjumlah RM64 juta.

"Sekarang masih ada lagi yang memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan untuk bina baru dan juga baik pulih. Saya mengalu-alukan, jadi boleh mohon, sama ada melalui pejabat daerah atau mohon terus ke pejabat saya untuk kita bantu mereka yang layak mendapat kediaman lebih baik, pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Jelajah Kesejahteraan rakyat zon selatan di Dungun.

Mengulas lanjut, beliau optimis usaha menyifarkan kadar miskin di negeri itu mampu dicapai menjelang tahun depan.

Ketika ini terdapat hampir 24,000 keluarga miskin di negeri itu.

Lebih RM70 juta diperuntuk bagi pembasmian kemiskinan di Terengganu.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ