fb fb fb fb fb

Pengurangan Halangan Bukan Tarif: ASEAN perkukuh integrasi ekonomi bantu PMKS

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Negara anggota ASEAN komited mengurangkan halangan bukan tarif bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau selain memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara inklusif oleh golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, pemimpin ASEAN sedang melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Antaranya termasuk penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) serta Jawatankuasa Perundingan Bersama Kemudahan Perdagangan ASEAN.

“Penubuhan kedua-dua badan ini bertujuan memperkukuh mekanisme penyelarasan antara agensi teknikal ASEAN dan memastikan pelaksanaan komitmen di bawah ATIGA,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, usaha itu turut menggalakkan ketelusan serta harmonisasi peraturan perdagangan di rantau ini melalui penyelarasan dasar antara negara anggota.

“Platform digital ASEAN Single Window pula menghubungkan sistem National Single Window setiap negara bagi membolehkan pertukaran dokumen kastam perdagangan secara elektronik,” katanya.

Liew menjawab soalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan mengenai langkah ASEAN dalam mengurangkan halangan bukan tarif untuk membantu PMKS berkembang di rantau ini.

Tambah beliau, ASEAN turut menyediakan garis panduan pelaksanaan komitmen terhadap barangan bukan tarif, memperkukuh perjanjian pengiktirafan bersama, dan menaik taraf Perjanjian ATIGA.

ATIGA turut berhasrat memperkukuh infrastruktur perdagangan digital dan kastam serantau menerusi pelaksanaan Sistem Transit Kastam ASEAN (ACTS).

Negara anggota ASEAN dijangka memeterai ATIGA yang dipertingkatkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Perjanjian itu bakal mewujudkan pasaran serantau lebih lancar dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia.

GRACE AISYAH KEDAYAN