fb fb fb fb fb

UPM siasat dakwaan bayar syarikat luar, bunuh anjing liar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyiasat kejadian tular mengenai pengurusan haiwan liar dalam kampus.

UPM menerusi satu kenyataan menegaskan pihaknya akan terus berusaha mengekalkan keseimbangan antara aspek keselamatan dalam kampus.

Ini termasuk kebajikan haiwan serta imej dan reputasi universiti agar semua pihak memiliki keyakinan penuh terhadap pendekatan yang dilaksanakan.

"UPM sentiasa komited memastikan tindakan berkaitan pengurusan haiwan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, beretika serta mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

"Pihak universiti juga kesal dengan insiden yang sedang tular ini. Sebagai institusi yang menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet termasuk kebajikan dan kesejahteraan haiwan, UPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan kejadian yang telah berlaku," katanya.

Terdahulu menerusi laporan portal media tempatan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menuduh UPM terlibat dalam pembunuhan anjing secara tidak sah, dengan mendakwa institusi pendidikan itu membayar sebuah syarikat pembersihan untuk membunuh haiwan tersebut.

Pertubuhan itu turut mendakwa UPM melantik sebuah syarikat perkhidmatan berpengkalan di Sentul untuk “membunuh” anjing pada kadar bayaran RM400 seekor.

Difahamkan, mereka terdapat bukti mengesahkan sekurang-kurangnya 15 ekor anjing telah dibunuh syarikat berkenaan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID